Iskandar Shah Mohamed


TUJUH lelaki termasuk anggota polis bantuan berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini atas pertuduhan menculik pengurus syarikat pengangkutan di Sungai Buloh, tahun lalu.

Semua tertuduh adalah polis bantuan, S R Jevan, 42; serta individu lain, S Surendran, 35; S Mohan, 33; S Prakhas, 34; A K Muniandy, 60; P Uthaya Kumar, 25, dan warga Bangladesh, Barique, 37.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Terdahulu, mereka yang antaranya bekerja sebagai pemandu lori, pengawal keselamatan, peniaga dan buruh binaan itu mengangguk faham akan pertuduhan bersama berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang lagi tertuduh didakwa menculik P Pratap, 35, untuk mendapatkan wang tebusan berjumlah RM300,000.


TUJUH individu yang dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan menculik. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat

Perbuatan itu dilakukan di Jalan 1B/8, Bandar Baru Sungai Buloh pada 9.10 malam, 12 Disember tahun lalu.

Jika disabit kesalahan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (365) mereka boleh dikenakan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan jika dikenakan hukuman penjara, boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi manakala, peguam Dennis Pereira mewakili Jevan; peguam S S Ruben dan P Prakasam bagi Muniandy dan K Lavinia bagi Mohan.

Empat lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada sebarang kos ikat jamin ditawarkan pendakwaan dan Raja Noor Adilla menetapkan sebutan kes pada 13 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 1:48 PM