Antara kenderaan berat yang diperiksa dalam Operasi Khas Hippo di sekitar LDP, kelmarin.
HM Digital

Kuala Lumpur: Tindakan pemandu lori membawa muatan secara berbahaya membawa padah apabila diberikan notis atas kesalahan dilakukan dalam Operasi Khas Hippo yang digerakkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) di sekitar Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), kelmarin.

Dalam operasi khas bermula jam 4 petang,
10 kesalahan dikesan dilakukan pemandu lori terutama membabitkan kesalahan tidak menutup muatan yang dibawa.

Jurucakap SPAD berkata, pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan syarikat konsesi memeriksa tujuh kenderaan berat dalam operasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, kami mendapati lima daripada tujuh kenderaan berat terbabit didapati melakukan kesalahan termasuk tidak menutup muatan iaitu tanah lembik berlumpur.

“Selain itu, mereka
turut didapati melakukan kesalahan gagal mengemukakan permit selain seorang pemandu lori warga Pakistan yang tidak mempunyai lesen memandu kenderaan berat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita lori yang dibawa lelaki warga Pakistan berkenaan.

“Pihak SPAD memandang serius tindakan pemandu lori terbabit yang tidak menutup muatan
meleleh kerana ia boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

“Justeru, pemandu lori dinasihatkan mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 6:50 AM