PREMIS judi online yang masih aktif di Ampang.
PREMIS judi online yang masih aktif di Ampang.
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Polis Selangor akan melipat gandakan operasi bagi membanteras rangkaian sindiket perjudian dalam talian yang dipercayai masih aktif di negeri berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya sentiasa melakukan operasi dan pemantauan ke atas premis judi di negeri berkenaan.

“Kami akan membuat operasi dengan agresif. Ekoran daripada laporan Harian Metro pastinya ia merupakan maklumat yang bernilai.

“Operasi akan dilipatgandakan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Semalam, Harian Metro melaporkan tindakan perang habis-habisan terhadap premis perjudian dalam talian
di seluruh negara yang diisytiharkan Bukit Aman hujung tahun lalu, kelihatan belum terlaksana sepenuhnya.

Di Selangor, contohnya rangkaian sindiket perjudian dalam talian didapati masih aktif berbanding di ibu kota dan kebanyakan negeri lain.

Penghujung tahun lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengarahkan 14 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di seluruh negara supaya mengesan, menyerbu, sekali gus menghapuskan mana-mana premis mesin perjudian yang ada di setiap negeri.

Berdasarkan aduan awam dan pemantauan Skuad Khas Harian Metro, didapati puluhan pusat judi dalam talian menggunakan komputer, tablet, mesin slot dan simulator terus beroperasi sekitar Ampang, Subang Jaya, Shah Alam, Setia Alam, Meru, Klang dan Kapar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 10:07 AM