Saadiah Ismail

Kajang: Sebanyak RM2.9 bilion diperuntukkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk bantuan persekolahan yang pelbagai bagi memberikan faedah kepada hampir 5.2 juta murid di seluruh negara pada tahun ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin berkata, kementerian sentiasa konsisten dalam memastikan kebajikan murid menjadi keutamaan dan saban tahun peruntukan itu akan meningkat.

Beliau berkata, di Selangor saja, kementerian menyalurkan lebih daripada RM221.4 juta kepada lebih empat juta murid yang terbahagi kepada bantuan umum, khusus dan secara one off.

“Ketahuilah bahawa asas pendidikan di negara ini adalah pendidikan percuma dan kerajaan tetap meneruskannya sebagai inisiatif mendahulukan rakyat, melainkan sumbangan tertentu mengikut keperluan sekolah.

“Justeru, seorang murid mendapat manfaat sekurang-kurangnya RM8,900 setahun selaras dengan Akta Pendidikan 550 yang menyatakan pendidikan adalah percuma di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Jelajah Pendidikan KPM 2018 bertemakan Menerajui Perubahan-Rakan Sejati Rakyat, dekat sini, semalam.


DR Amin (lima dari kiri) pada Program Jelajah Pendidikan KPM 2018 di Kajang, semalam

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Shashim Shah Harun.

Pada program itu, kira-kira 6,000 orang hadir dan berpeluang melihat transformasi pendidikan negara melalui pelaksanaan inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Di samping itu, orang ramai juga boleh menyaksikan keberhasilan murid daripada setiap sekolah yang menyertai program ini selain bertanya sebarang kemusykilan berkaitan pendidikan.

Program ini akan meneruskan siri jelajah ke lima lokasi lain iaitu Langkawi, Kedah, Pasir Puteh, Kelantan, Parit Buntar, Perak, Temerloh, Pahang dan Tawau, Sabah.

Dalam perkembangan lain, Amin berkata, pemansuhan Gred Purata Sekolah (GPS) yang menjadi kayu pengukur kepada pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) sekolah tidak akan menjejaskan, malah lebih bersifat holistik.

Katanya, empat penekanan akan diberikan untuk memastikan murid sekolah diberikan perhatian kerana KPM menekankan pencapaian standard minimum untuk setiap pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 9:57 AM