Mohd Sabran Md Sani


TIGA sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pontian, hari ini atas pertuduhan membunuh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pontian dalam kejadian pada Januari tahun lalu.

Semua tertuduh, Mohammad Khalifah, 24, Abdul Shukur Abdul Ghani, 26, dan S Ragu, 38, mengangguk kepala tanda faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Melayu dan Tamil.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Azlan Bohari.

Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa membunuh Jaiman Sapar, 54, di halaman rumah di Parit Pak Intan, Kayu Ara Pasong, di sini.

Mereka dituduh bersama-sama melakukan perbuatan itu pada 1 tengah hari, 27 Januari tahun lalu.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sekiranya disabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Baiduri Mustakim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 15 Mac depan.

Terdahulu semua tertuduh yang berpakaian lokap polis berwarna oren menaiki trak polis tiba ke Mahkamah Majistret Pontian kira-kira 9 pagi.

Prosiding di mahkamah bermula 9.30 pagi itu menyaksikan keluarga semua tertuduh dan ahli keluarga mangsa hadir bagi kes itu.

Kes yang didengar kira-kira lima minit itu turut menyaksikan tertuduh pertama, Mohammad Khalifah berdepan tiga kes pecah rumah antara Oktober tahun lalu hingga awal tahun ini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama 14 tahun.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan itu dan minta dibicarakan.

Berita berkaitan

Pegawai JPJ maut ditetak [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 11:53 AM