Mohd Sabran Md Sani


“SAYA bersyukur pada Allah SWT kerana memakbulkan doa saya," kata Siti Pujinah Sapar, 50, adik kepada mangsa bunuh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pontian dalam kejadian di Parit Pak Intan, Kayu Ara Pasong, di sini, pada Januari tahun lalu.

Suri rumah itu berkata, dia bersama keluarga bersyukur kerana penantian hampir setahun berakhir dengan penangkapan tiga individu yang dituduh membunuh mangsa.

"Sebelum ini kami tertanya-tanya siapakah individu bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam terhadap arwah abang.

"Akhirnya semua persoalan itu terungkai selepas dimaklumkan polis sudah menahan tiga individu yang mempunyai kaitan kes itu," katanya ketika mengikuti prosiding pertuduhan di Mahkamah Majistret Pontian, pagi ini.

Katanya, dia tidak mengenali tiga lelaki didakwa pagi ini dan menyerahkan kepada pihak berkuasa mengikut lunas undang-undang.

Mengulas lanjut katanya, arwah abangnya mempunyai empat orang anak dan sudah empat tahun berkhidmat di JPJ Pontian sebelum meninggal dunia pada hari kejadian tahun lalu.

"Saya dapat tahu suspek ditangkap minggu lalu selepas dimaklumkan polis. Pada hari ini, saya bersama ahli keluarga datang ke mahkamah pada 9 pagi untuk mendengar sendiri pertuduhan itu," katanya yang meninggalkan perkarangan mahkamah pada 11 pagi ini.


TIGA sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pontian dalam kejadian pada Januari tahun lalu. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Terdahulu, tiga sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pontian dalam kejadian pada Januari tahun lalu.

Semua tertuduh, Mohammad Khalifah Yahya, 24, Abdul Shukur Abdul Ghani, 26, dan S Ragu, 38, mengangguk kepala tanda faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Melayu dan Tamil.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Azlan Bohari.

Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa membunuh Jaiman Sapar, 54, di halaman rumah di Parit Pak Intan, Kayu Ara Pasong, di sini.

Mereka dituduh bersama-sama melakukan perbuatan itu pada jam 1 tengah hari, pada 27 Januari tahun lalu.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sekiranya disabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Berita berkaitan

Pegawai JPJ maut ditetak [METROTV]

Didakwa bunuh pegawai JPJ

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 12:20 PM