ANGGOTA PPM memeriksa bot tukar barang membawa 320 kayu balak bergergaji tanpa dokumen sah kastam di perairan Kuala Selangor, semalam. FOTO Ihsan PPM
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan sekumpulan warga Myanmar membawa 320 kayu balak bergergaji tanpa dokumen sah kastam di perairan Kuala Selangor menuju ke Pelabuhan Klang, semalam.

Kayu balak dianggarkan bernilai RM272,000 termasuk cukai eksais itu dirampas hasil pemeriksaan terhadap sebuah bot tukar barang (barter trade) dinaiki sembilan warga asing berkenaan pada 4 petang.

Komander PPM Wilayah Satu Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, pemeriksaan dilakukan selepas menerima maklumat mengenai kehadiran bot MV TOE TOE di kawasan perairan itu.

"Semua warga Myanmar iaitu seorang tekong dan lapan awak-awak berusia antara 19 hingga 47 tahun itu, bagaimanapun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Pemeriksaan lanjut mendapati tekong gagal mengemukakan dokumen sah kebenaran dan bukti barangan berkastam terhadap 320 kayu balak bergergaji di dalam bot itu," katanya kepada pemberita, malam tadi.

Katanya, semua warga Myanmar terbabit dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Rosman berkata, pihaknya turut merampas kira-kira 400 kilogram (kg) ketam batu selepas menahan bot barter trade KM Riski yang dalam perjalanan dari Tanjung Balai, Indonesia ke Pelabuhan Klang pada 12 tengah hari.

"Pemeriksaan mendapati bot itu tidak memperoleh permit daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

"Semua ketam batu yang dianggarkan bernilai RM11,200 itu diserahkan kepada MAQIS untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 11(1) Akta MAQIS 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 12:22 AM