Iskandar Shah Mohamed


Shah Alam: Tindakan empat premis menjual kasut dan aksesori peralatan sukan tiruan di sekitar Subang dan Puchong, dekat sini, mengundang padah apabila diserbu pihak berkuasa dalam dua serbuan berasingan, minggu lalu.

Operasi digerakkan pasukan khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor pada 7 dan 8 Februari itu membawa kepada rampasan bernilai lebih RM25,000.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Azman Adam berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan wakil cap dagang mengenai aktiviti penjualan barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu.

“Dalam serbuan pertama jam 1 tengah hari 7 Februari lalu, kami merampas 232 pasang kasut jenama Adidas bernilai RM23,200 di sebuah kedai pakaian di Puchong.

“Keesokannya kami menyerbu tiga lagi kedai serbaneka di sekitar Subang yang membawa kepada rampasan 144 unit aksesori peralatan sukan seperti alat pelindung lutut, lengan dan kaki bernilai RM2,184. Semua menggunakan cap dagangan jenama Bio-Ray,” katanya di pejabatnya di sini, semalam.


Azman (dua dari kanan) menunjukkan kasut dan peralatan sukan yang dirampas, semalam.

Menurut beliau, semua kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 (2) (b), Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu membekal atau menawarkan barangan menggunakan perihal dagangan palsu.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda RM15,000 bagi syarikat, manakala RM10,000 untuk individu, atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Azman berkata, pihaknya menjalankan operasi berterusan berikutan negeri ini mempunyai jumlah premis komersial tertinggi dan penduduk ramai.

Dalam pada itu, beliau berkata, 73,684 premis diperiksa sepanjang tahun lalu dan 1,102 daripadanya dikenakan tindakan.

“Ia membabitkan nilai rampasan hampir RM7 juta antaranya mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Jualan Langsung 1993 dan Akta Hakcipta 1987.

“Nilai keseluruhan kesalahan kompaun dikenakan berjumlah RM277,251,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 4:56 AM