AHMAD Fauzi (dua dari kiri) membuat lawatan pemeriksaan barangan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena sambutan Tahun Baru Cina.


Rawang: Pandangan daripada Jabatan Perikanan Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) turut diperoleh bagi memastikan harga barangan dijual sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2018 berpatutan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengambil langkah itu sebelum menetapkan harga maksimum bagi 13 jenis barangan untuk dikuat kuasa di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina kali ini.

Antara barangan disenaraikan di bawah skim yang dikuatkuasa pada 10 Februari lalu hingga 21 Februari depan adalah ayam, telur, bawang putih dan ikan bawal putih.

Pengarah KPDNKK Selangor, Ahmad Fauzi Idris, berkata, penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut permintaan dan kesesuaian masa.

Katanya, ia bagi memastikan harga ditetapkan berpatutan menerusi rantaian pengedaran seterusnya memberi manfaat kepada pengguna dan peniaga.

“Harga maksimum ditentukan bagi 13 barangan di 91 daerah dan kawasan di Semenanjung, 31 daerah di Sarawak, 27 daerah di Sabah dan satu daerah di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kita buat keputusan itu selepas membuat pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara sepanjang tahun lalu dan bulan lalu.

“KPDNKK juga mendapatkan pelbagai pandangan daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Perikanan Malaysia, FAMA dan LKIM mengenai isu berbangkit.

“Selain itu, perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong turut diadakan,” katanya. selepas mengadakan lawatan kerja ke sebuah pasar raya besar, semalam.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh emel ke [email protected] atau menghubungi di talian 03-8000 8000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 5:10 AM