ANGGOTA JPJ membuat pemeriksaan berat kenderaan selepas perasmian stesen di R&R Dengkil.
HM Digital

Dengkil: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka Stesen JPJ yang pertama di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil arah selatan bagi memastikan pemantauan dapat dijalankan secara berterusan dan menyeluruh.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, stesen berkenaan yang pertama dibuka dengan kerjasama PLUS Malaysia Berhad.

Beliau berkata, dengan ada stesen berkenaan, ia dapat menempatkan pegawai dan anggota JPJ secara statik serta membuat rondaan mengikut masa ditetapkan.

“Pembukaan stesen JPJ ini menjadi pusat penguatkuasaan di lebuh raya bagi Zon Tengah dan kita rancang membuka dua lagi stesen sama di Zon Utara dan Selatan dalam masa terdekat.

“Dengan ada stesen ini, pengguna jalan raya boleh membuat aduan salah laku, memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan, menyemak dan membayar saman.

“Ia bukan saja dapat memudahkan pengguna jalan raya tetapi kerjasama dengan PLUS ini juga membolehkan JPJ memberikan pertolongan atau bantuan awal sekiranya terdapat kemalangan di lebuh raya yang disebabkan pelanggaran objek seperti serpihan tayar kenderaan dan muatan jatuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Stesen JPJ di R&R Dengkil (arah selatan) di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Shaharuddin berkata, pihaknya juga akan membuat pemeriksaan tayar, lampu dan brek bagi bas sepanjang Ops Tahun Baharu Cina (TBC) yang diadakan dari 9 hingga 23 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 5:44 AM