VIDEO tular mangsa dibelasah tiga lelaki di Jalan Kuchai Maju, Kuala Lumpur.
HM Digital

Kuala Lumpur: Ditikam di punggung selain dibelasah teruk. Itu nasib dua beradik menjadi mangsa belasah samseng jalanan selepas mereka bertindak mengejar individu yang melanggar kereta dinaiki di Jalan Kuchai Maju di sini.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari Sabtu lalu, kereta dinaiki kedua-dua mangsa dilanggar sebuah kereta yang membuat pusingan U secara mendadak hingga menyebabkan kenderaan mereka dilanggar di bahagian belakang.

Sumber polis berkata, mangsa kemudian bertindak mengejar kereta berkenaan yang melarikan diri sejurus kejadian.

Katanya, sebaik tiba di jambatan berhampiran lokasi itu, salah seorang mangsa keluar dari kenderaan selepas berjaya menahan kereta itu di bahu jalan.

“Mangsa yang melihat kesan calar di bahagian bampar belakang kereta bagaimanapun diserang tiga lelaki.

“Salah seorang daripada tiga lelaki terbabit bertindak menikam mangsa menggunakan pisau lipat di bahagian punggung kiri selain menumbuk dan menendangnya di seluruh badan,” katanya.

Menurutnya, suspek turut menumbuk mata adik mangsa hingga mengakibatkan cermin matanya pecah.

“Kedua-dua mangsa masuk ke dalam kereta bagi mengelak terus dibelasah tiga lelaki terbabit sebelum melarikan diri.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan Baru, Cheras, di sini, berhubung kejadian langgar dan belasah itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 5:45 AM