Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


 

DUA lelaki tidak sempat bergaya dengan motosikal Yamaha 125Z yang dicuri kelmarin, apabila ditahan polis di sebuah rumah di FELDA Bukit Waha di Kota Tinggi, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Ahsmon Bajah berkata, kedua-dua suspek berusia 29 tahun dan 30 tahun ditahan Task Force Lejang yang ditubuhkan susulan kes curi motosikal milik pekerja sebuah kafe siber di Bandar Penawar, jam 6.30 petang, Selasa lalu.

“Susulan itu, pada jam 6.30 pagi, sepasukan anggota diketuai Ketua Balai Polis Bandar Penawar dibantu Task Force Lejang menyerbu rumah terbabit.

“Selain menahan suspek, kami turut merampas Yamaha LC135, Yamaha 125Z dan Modenas Kriss, dua rangka motosikal dan peralatan mencuri jentera berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek berusia 29 tahun itu mempunyai empat rekod lampau termasuk samun dan curi dalam bangunan.

Suspek kedua pula mempunyai lima rekod jenayah lampau termasuk curi motosikal dan dadah.

“Kedua-dua suspek aktif mencuri motosikal di sekitar Kota Tinggi dan sempadan daerah ini di Johor Jaya dan Ulu Tiram,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.

Kelmarin, tular mengenai kehilangan motosikal dilarikan dua lelaki di kafe siber di Jalan Kempas 2, Taman Desaru Utama, Bandar Penawar.

Aksi dua lelaki itu dirakam dua kamera litar tertutup (CCTV) di luar kafe siber berkenaan dan ia turut merakam wajah pelaku.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 10:14 PM