ANTARA kayu balak bergergaji yang dirampas.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


Pelabuhan Klang: Cubaan sekumpulan warga Myanmar membawa 320 kayu balak bergergaji tanpa dokumen sah kastam gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Kuala Selangor menuju ke pelabuhan ini, kelmarin.

Kayu dianggarkan bernilai RM272,000 termasuk cukai eksais itu dirampas hasil pemeriksaan ke atas sebuah bot tukar barang yang dinaiki sembilan warga asing kira-kira jam 4 petang.

Komander PPM Wilayah Satu Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, pemeriksaan menyeluruh dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kehadiran bot MV TOE TOE di kawasan perairan itu.

“Semua warga Myanmar iaitu tekong dan lapan awak-awak berusia 19 hingga 47 tahun itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tekong gagal mengemukakan dokumen sah port clearance dan bukti barangan berkastam terhadap 320 kayu balak bergergaji dalam bot itu,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, kata Rosman, pihaknya turut merampas 400 kilogram (kg) ketam batu selepas menahan bot barter trade KM Riski yang dalam perjalanan dari Tanjung Balai, Indonesia ke pelabuhan ini, jam 12 tengah hari semalam.

“Pemeriksaan mendapati bot itu tidak memperoleh permit Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

“Semua ketam yang dianggarkan bernilai RM11,200 itu diserahkan kepada MAQIS untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, dua kes itu masing-masing disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d), Akta Kastam 1967 dan Seksyen 11(1), Akta MAQIS 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 6:38 AM