LEO merasmikan Pusat Latihan Teknikal di Kota Belud.
LEO merasmikan Pusat Latihan Teknikal di Kota Belud.
HM Digital

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus komited membangunkan modal insan dalam industri pembekalan elektrik negara menerusi penubuhan Pusat Latihan Teknikal Kota Belud, Sabah yang baru beroperasi.

Pusat berkenaan menyediakan kursus kekompetenan pencantum kabel pertama di Sabah dan mendapat pentauliahan daripada Suruhanjaya Tenaga untuk mengendalikan latihan kepada pelatih dalam kategori pencantum kabel elektrik sehingga tahap voltan 33kV.

Operasi pusat latihan itu membabitkan dua anak syarikat TNB, TNB Integrated Learning Solution Sdn Bhd (ILSAS) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Pengerusi TNB dan SESB Tan Sri Leo Moggie berkata, pusat terbabit bukan saja melatih pekerja SESB, malah memberi manfaat kepada kontraktor SESB dan masyarakat awam di negeri Bawah Bayu itu.

“Penubuhan pusat itu adalah selari dengan hasrat TNB membangunkan modal insan berkaitan latihan teknikal dan perkhidmatan khusus yang dilaksanakan oleh ILSAS untuk TNB dan industri tenaga sejak 40 tahun lalu.

“Sejak 1978 lagi, ILSAS giat membangunkan tenaga mahir yang kini dikenali sebagai Pendidikan Teknik dan Latihan Vokasional (TVET).

“Menerusi ILSAS, tiga tahun kebelakangan ini TNB membelanjakan RM90 juta setahun untuk pembangunan modal insan,” katanya ketika merasmikan pusat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 6:42 AM