HM Digital

Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, setiap makanan dimintanya sempat saya dan anak-anak carikan dan masak,” kata isteri Ahli Parlimen Paya Besar, Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail, Datin Seri Rohizah Ahmad, 65, tatkala mengenang saat akhir bersama suaminya.

Allahyarham yang juga Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sejak Julai 2010 pernah berkhidmat sebagai setiausaha sulit khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari tahun 1986 hingga 2004.

Rohizah berkata, dia sempat memasakkan lauk asam pedas ikan pari untuk dijadikan hidangan makan tengah hari selepas diminta arwah, awal pagi kelmarin.

“Kemudian dia teringin pula nak makan pisang goreng, saya meminta anak lelaki saya, Mohd Hannan mencarinya.

“Dia makan dengan penuh berselera sehingga saya terpaksa menegurnya kerana makan terlalu banyak,” katanya.

Rohizah berkata, sejak kebelakangan ini, Allahyarham sering mengadu kepenatan dan mengalami kesukaran untuk tidur.

“Dia memang amat komited dengan tugasnya, dia suka bekerja, sampai dia kerap berasa penat.

“Dia juga sangat baik, suka melayan cucunya bermain dan sentiasa melayan siapa saja dikenalinya.

“Petang semalam (kelmarin), saya menyangka dia pergi melihat cucunya bermain di luar kawasan rumah, tetapi hati saya tergerak masuk ke bilik.

“Apabila saya membuka lampu bilik, saya nampak dia terbaring di tepi katil, saya memegang badannya dan saya dapat rasa badannya sejuk. Ketika itu saya menyedari, suami saya sudah tiada,” katanya.

Tengku Abdullah berbual dengan isteri Allahyarham, Rohizah ketika hadir menziarahi jenazah Abdul Manan di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati.

Sementara itu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama 200 jemaah menunaikan solat sunat jenazah Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail, di Masjid Al Hidayah, Taman Melawati di sini, pagi semalam.

Solat sunat jenazah diketuai sendiri anak lelaki tunggal Allahyarham, Mohd Hannan.

Jenazah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, Ulu Klang pada jam 11.30 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 7:02 AM