Razif Rosli
bhnews@bh.com.my


“SAYA sudah bersedia untuk menjadi calon pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) akan datang, soal sama ada kerusi Parlimen atau DUN (Dewan Undangan Negeri) kita serah pada pucuk pimpinan,” kata Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun.

Bagaimanapun katanya, keputusan itu tertakluk dan terpulang kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak.

"Jika diberi mandat, saya bersedia namun jangan tanya saya di mana kerana ia terserah pada pucuk pimpinan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Bantuan Tahun Baharu Cina 2018 anjuran Pemuda BN Perak di Bangunan UMNO negeri di Ipoh petang tadi.

Khairul Azwan mengulas mengenai khabar angin beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Bagan Serai dan DUN Kampung Gajah pada PRU kali ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pemuda BN Perak berkata, Pemuda BN sudah berada dalam keadaan siap siaga untuk berdepan dengan parti lawan.

"Semangat tinggi ditunjukkan sayap Pemuda parti dari UMNO, MIC, MCA, Gerakan dan MyPPP serta parti komponen BN membuktikan kita telah bersedia sepenuhnya.

"Pemuda BN berada dalam keadaan sedia untuk menghadapi PRU-14, kita yakin dengan gerak kerja yang dilakukan sepanjang tahun akan memastikan BN akan terus mentadbir negara," katanya.


Khairul Azwan (tengah) menyampaikan bantuan Tahun Baru Cina kepada Kong Chow On sempena Program Penyampaian Bantuan Tahun Baru Cina 2018. FOTO L Manimaran

Khairul Azwan berkata, beliau yakin BN akan kekal mentadbir kerajaan negeri Perak pada PRU akan datang.

"Kita boleh nampak gerak kerja secara agresif selama empat tahun meyakinkan BN Perak untuk kekal mentadbir negeri ini.

"Bukan itu sahaja, blok pembangkang kini kepanasan kerana terus terkial-kial untuk mencari janji serta idea baru yang terus mahu memenangi hati rakyat, sedangkan rakyat mulai sedar janji-janji yang diberikan mereka hanyalah janji kosong belaka," katanya.

Katanya, pembangkang hanya pandai mencari keburukan dan memainkan isu menghasut rakyat namun sebaliknya menyerahkan kerja-kerja membantu rakyat kepada BN dan beliau yakin rakyat menilai semua itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 10:18 PM