Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


POLIS menumpaskan dua geng curi motosikal dikenali Geng Wan Joi dan Pulai Emas, susulan tertangkapnya 12 individu termasuk tiga warga Bangladesh yang mendalangi 36 kes curi motosikal di Iskandar Puteri dan Johor Bahru Utara (JBU) sejak pertengahan tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, semua suspek berusia 16 hingga 34 tahun, ditahan secara berasingan oleh pasukan khas Ops Lejang Khas IPD Iskandar Puteri.

Katanya, kejayaan terbesar membabitkan penahanan tujuh individu termasuk tiga warga Bangladesh dari Kumpulan Geng Wan Joi yang bekerja di tapak pembinaan berdekatan Tanjung Kupang pada jam 4.54 petang, 9 Februari lalu.

“Suspek ditahan susulan maklumat diterima berkaitan curi motosikal sebelum seorang lelaki yang juga ketua Geng Wan Joi ditahan serta pelbagai barang motosikal dirampas.

“Penahanan suspek itu dilakukan pasukan khas Balai Gelang Patah dan Balai Tanjung Kupang hasil pemantauan di sekitar kawasan Taman Nusantara, Gelang Patah,” katanya pada sidang media di Balai Polis Tanjung Kupang hari ini.

Noor Hashim berkata, siasatan terhadap tangkapan pertama membawa kepada penahanan enam individu lagi kerana terbabit kegiatan curi motosikal di sekitar Gelang Patah, Tanjung Kupang dan Skuadai.

“Polis merampas 15 motosikal serta komponen digunakan untuk kegiatan itu, dua telefon bimbit, pisau lipat, sehelai jeans tiada jenama dan satu paket dadah disyaki jenis Erimin 5.

“Hasil siasatan semua suspek berusia 20 hingga 34 tahun mengaku terbabit 30 kes kecurian motosikal di sekitar Johor Bahru Utara dan Iskandar Puteri sejak November tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, seorang daripada suspek turut dikesan positif dadah jenis Amphethamine.

Katanya, lima individu berusia 16 hingga 24 tahun dari Geng Pulai Emas ditahan dalam operasi sama oleh pasukan khas Ops Lejang pada 2.10 pagi, 5 Februari lalu.

“Pasukan khas dengan dibantu Balai Kangkar Pulai melakukan serbuan ke sebuah rumah di Jalan Pulai Emas, Kangkar Pulai, Skudai.

“Polis kemudian menyerbu masuk ke dalam rumah dan menahan tiga lelaki serta merampas pelbagai barang rampasan.

“Susulan tangkapan itu, polis berjaya menahan dua lagi lelaki di sekitar Kangkar Pulai serta turut merampas dua buah motosikal, satu rangka motosikal, pelbagai komponen dan enjin motosikal,” katanya.

Beliau berkata, saringan terhadap Geng Pulai Emas mendapati semua suspek berusia 16 hingga 24 tahun negatif dadah, selain mengaku terbabit enam kes kecurian motosikal sejak pertengahan tahun lalu.

“Polis percaya dapat menyelesaikan lebih banyak lagi kes kecurian motosikal berikutan tertangkapnya suspek terbabit.

“Berdasarkan siasatan, modus operandi mereka adalah dengan melerai komponen motosikal sebelum memasang ke atas motosikal sendiri dan menjual kepada orang lain,” katanya.

Katanya, semua suspek ditahan selama seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana curi motosikal.

Pada masa sama, polis turut menjejaki empat lagi individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 17 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes curi motosikal dari Geng Wan Joi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 3:36 PM
ISKANDAR PUTERI 15 FEBRUARI 2018 Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad menunjukkan motosikal curi yang dirampas daripada suspek berusia 16 hingga 34 tahun dalam operasi pasukan khas Ops Lejang Khas IPD Iskandar Puteri. NSTP/ZAIN AHMED