GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rosman Shamsudin


KESERONOKAN berkelah seorang kanak-kanak perempuan bersama saudaranya bertukar tragedi apabila dia ditemui lemas di Sungai Bernam, Kampung Simpang Empat, Tanjung Malim, hari ini.

Mangsa Nurbalqis Zahra Zuraimi, 3, dari Kampung Seri Geriang, Hulu Bernam disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Tanjung Malim selepas dibawa oleh bapa saudaranya untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian berlaku pada 3 petang ketika mangsa bersama ibu dan bapa saudara serta lima sepupunya mandi-manda di sungai itu.

Katanya, mereka tidak menyedari Nurbalqis dihanyutkan arus sungai itu dan kejadian hanya disedari kira-kira 15 minit kemudian oleh salah seorang sepupu mangsa.

"Bapa saudara mangsa berusia 31 tahun terus mencari dan menyelam di tempat mangsa mandi bersama sepupunya, tetapi gagal menemuinya.

"Selepas itu, bapa saudara mangsa menyusuri ke hilir sungai dan menemui mangsa di atas beting pasir iaitu kira-kira 400 meter dari tempat kali terakhir mereka melihatnya mandi," katanya.

Menurutnya, bapa saudara mangsa cuba menyelamatkannya dengan memberi bantuan pernafasan, sebelum dibawa ke klinik kesihatan dengan bantuan orang awam namun disahkan meninggal dunia.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk tindakan lanjut.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas dan doktor mengesahkan tiada kesan kecederaan pada tubuh mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 11:39 PM