Mohd Fahmi Mohd Yusof


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah meminta semua rakyat terus bersatu sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina ini.

Titah baginda, semua rakyat perlu bersatu tidak mengira bangsa, jika mahu Johor atau negara ini maju.

"Bersatulah semua rakyat tidak kira Melayu, Cina atau India. Semua bangsa Johor bersatulah kalau nak maju. Kalau kita berpecah maka mundurlah Johor.

"Kepada semua masyarakat Cina, selamat maju jaya pada Tahun Baharu ini," titah baginda ringkas.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan mengunjungi rumah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di Taman Setia Tropika, dekat Johor Bahru, hari ini.

Sultan Ibrahim yang diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, tiba di rumah Siew Kiong pada 10.15 pagi.

Turut berangkat Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman; Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar; dan menantu Baginda, Dennis Muhammad Abdullah.

Ketibaan keluarga diraja itu disambut dengan tarian singa dan diiringi paluan gendang sebelum baginda bergambar kenangan bersama keluarga Siew Kiong.

Sultan Ibrahim kemudian berkenan menulis seni kaligrafi di atas kertas sambil diperhatikan keluarga Diraja Johor sebelum bersantap dengan keluarga Siew Kiong.

Siew Kiong berkata, ia menjadi sejarah tersendiri kepada keluarganya apabila Sultan Johor sudi mencemar duli hadir setiap tahun ke rumahnya sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

"Ini membuktikan Tuanku seorang yang prihatin. Ini juga bukti konsep bangsa Johor, kita hormat menghormati semua bangsa di Johor. Kita mahu Johor jadi satu negeri yang bermoral, harmoni, bahagia dan sederhana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 11:34 AM
SULTAN Ibrahim, Raja Zarith Sofiah, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar bergambar selepas menulis kaligrafi ketika mengunjungi rumah Siew Kiong (empat kanan). FOTO Mohd Azren Jamaludin