KEADAAN motosikal berkuasa tinggi selepas kemalangan di Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS). FOTO ihsan pembaca
Nur Afiradina Arshad


PENUNGGANG motosikal berkuasa tinggi maut di Kilometer 7.1 Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) dekat Kajang, malam tadi.

Kejadian kira-kira 10 malam itu membabitkan motosikal Kawasaki Z800 dan Perodua Alza.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yusof berkata, penunggang motosikal yang tidak dikenal pasti identiti itu maut di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati mangsa dari arah Kuala Lumpur menuju ke Seremban.

"Apabila tiba di lokasi kejadian mangsa hilang kawalan lalu melanggar sebelah kanan belakang kereta yang ketika itu datang dari arah yang sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dzaffir berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan.

"Setakat ini, pihak kami masih mengesan waris mangsa," katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pegangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 11:56 AM