MANGSA maut di Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS). FOTO ihsan pembaca
Nur Afiradina Arshad


PENUNGGANG motosikal berkuasa tinggi putus kepala dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 7.1 Lebuh raya Kajang-Seremban (LEKAS) menghala Selatan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yusof, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 10.59 malam.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca daripada penunggang Kawasaki Z800 yang dikatakan memotong Honda CR-V dari sisi kiri sebelum memotong pula Perodua Alza.

“Ketika kejadian, pemandu Honda berada di lorong kedua lebuh raya berkenaan manakala, Perodua Alza berada di lorong pertama.

“Selepas memotong Honda CR-V, mangsa (penunggang motosikal) dikatakan cuba memotong pula PERODUA Alza dari sebelah kanan namun hilang kawalan dan melanggar sisi kanan kenderaan itu.

“Perlanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa terpelanting dan jatuh di lorong kedua lebuh raya sebelum berpusing beberapa kali dan dilanggar Honda CRV yang tidak sempat membrek.

"Mangsa pula terpelanting ke arah besi pembahagi jalan di tengah jalan dan lehernya dipercayai terkena besi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dzaffir berkata, mangsa yang juga lelaki berusia

25 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat putus kepala.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa yang berasal dari Mantin, Negeri Sembilan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Seremban.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

“Pemandu kereta Honda CR-V dan PERODUA Alza tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kes disiasat Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 3:32 PM