Hazsyah Abdul Rahman


LELAKI yang maut ditikam di kilang kelapa sawit di Kampung Ulu Sapi, Jalan Sapi-Nangoh, Beluran Khamis lalu sempat bermain dengan anaknya berusia 12 hari sebelum tragedi itu.

Mangsa, Baso Padue Paddo, 30, mati selepas ditikam tiga kali di tangan kiri, belakang dan dada dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati seorang lelaki apabila gilirannya untuk menimbang kelapa sawit dipotong mangsa.

Ketika kejadian, mangsa menghantar buah kelapa sawit di sebuah kilang di kampung berkenaan.

Isteri mangsa, Wana Osman, 21, berkata, dia tidak menyangka kemesraan suaminya bersama anak ketika bermain sebelum bekerja berakhir dengan tragedi.

“Suami bercerita seperti biasa. Tiada sebarang tanda dia akan pergi meninggalkan kami untuk selamanya.

“Dia sempat bermain dan bergurau dengan anak kami yang berusia setahun 12 hari sebelum keluar bekerja,” katanya ketika dihubungi di Beluran, hari ini.

Sementara itu, nenek mangsa, Kartina Kamrun, 51, berkata, dia mengetahui cucunya itu ditikam selepas dihubungi pihak ladang.

“Saya terkejut sebaik dimaklumkan hal itu. Pada masa itu saya dan suami dalam perjalanan dari bandar Sandakan ke Ulu Sapi.

“Kami bergegas pulang dan selepas tiba di Telupid cucu sudah tidak bernyawa ketika itu,” katanya. Katanya, kedukaan kehilangan cucu turut bertambah selepas melihat tubuh mangsa penuh dengan luka akibat ditikam.

“Kami juga dimaklumkan ketika kejadian itu, orang ramai hanya melihat dan tidak memberikan pertolongan. Sedangkan kawasan itu ramai orang.

“Kalaulah orang ramai datang membantu dia, pasti semua ini tidak akan berlaku,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi kelmarin, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori ditikam lelaki berumur 26 tahun yang juga pemandu jentera berat mengangkut kelapa sawit.

Mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Telupid,namun disahkan meninggal dunia akibat tikaman di dada.

Difahamkan suspek ditahan beberapa jam kemudian di ladang kelapa sawit berhampiran selepas menyerah diri kepada polis.

Sementara itu, Ketua Polis Beluran Superintendan V Sivananthan berkata, siasatan awal mendapati berlaku pertelingkahan antara mangsa dengan suspek kerana memotong barisan untuk menimbang kelapa sawit namun dileraikan orang ramai sehari sebelum kejadian.

Beliau berkata, keesokannya suspek mengintai mangsa di lokasi yang sama sebelum bertindak menikamnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita berkaitan:

Bunuh pemandu potong barisan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2018 @ 1:33 PM