KERETA dan bahagian depan rumah William yang terbakar di Taman Desa Jaya, Johor Bahru, malam tadi. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


KEGEMBIRAAN lima sekeluarga keluar makan lewat malam sempena Tahun Baru Cina bagaikan direntap apabila parkir dan sebahagian ruang tamu rumah mereka di Jalan Danau 22, Taman Desa Jaya, Johor Bahru musnah dalam kebakaran 10.50 malam tadi.

Pemilik rumah dikenali sebagai William, 30-an berkata, mereka sekeluarga meninggalkan rumah teres dua tingkat itu jam 10 malam dan menerima panggilan daripada jiran memaklumkan kebakaran sejam kemudian.

“Kami bergegas pulang dan terkejut apabila mendapati parkir, kereta Perodua Myvi serta dua motosikal milik keluarga musnah dalam kebakaran itu manakala api mula merebak ke ruang tamu.

"Mujurlah anggota bomba berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran sebelum seluruh rumah kami musnah," katanya.

William berkata, walaupun hanya parkir dan sebahagian ruang tamu terjejas, mereka tidak boleh tinggal di rumah itu buat sementara waktu kerana bau asap terlalu kuat selain bekalan elektrik terputus.

Berikutan itu, katanya, buat masa ini mereka akan tinggal di rumah kakaknya di kawasan berhampiran sambil berusaha mencari rumah sewa.

"Sudah hampir 20 tahun kami tinggal di rumah ini, namun sambutan Tahun Baru Cina kali ini mempunyai kenangan tidak dapat dilupakan seumur hidup.

"Walaupun ditimpa dugaan, kami lega kerana semua ahli keluarga dalam keadaan selamat," katanya.

Sementara itu, jiran mangsa, P Shures, 37, berkata dia bersama keluarganya menjangkakan bunyi bising dari luar rumah jiran adalah bunyi letupan mercun.

"Kami hanya sedar kejadian itu apabila terdengar orang ramai menjerit rumah jiran terbakar dan terus menghubungi bomba.

“Mujurlah, anggota bomba berjaya memadamkan kebakaran sebelum ia merebak ke rumah kami," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.55 malam sebelum satu jentera membabitkan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, pasukan itu tiba jam 11.10 malam dan operasi mengawal serta memadam api mengambil masa lebih sejam.

Katanya, kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.15 tengah malam dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2018 @ 6:37 PM