Suhara (kiri) menyampaikan wang pampasan kepada Hanifah sambil diperhatikan Zaidi (dua dari kanan) dan Mohd Hamidi di Pejabat PERKESO Batu Pahat.
Mohamad Fahd Rahmat

Batu Pahat: “Saya tidak menyangka tindakan majikan arwah suami mencarum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membantu kami di kemudian hari,” kata Hanifah Selamat, 34, isteri kepada arwah Ahmad Zainal Amat Misnon, 37, operator kilang yang maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kereta di Kampung Padang Sari, Simpang Lima, Disember lalu.

Katanya, dia terkejut apabila dihubungi PERKESO yang memaklumkan arwah suaminya layak mendapat Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan diserahkan kepadanya sebagai balu Orang Berinsuran (OB) serta bayaran Pencen Penakat.

Dia bersyukur kerana tindakan bertanggungjawab majikan arwah meringankan bebannya yang kini bergelar ibu tunggal untuk membesarkan tiga anak berusia 11, 13 dan 14 tahun yang masih bersekolah.

“Saya akan menggunakan wang pampasan ini sebaik mungkin untuk membesarkan tiga anak.

“Jika PERKESO tidak menghubungi dan meminta saya ke pejabat untuk menuntut pampasan berkenaan, memang saya tidak tahu yang arwah suami layak menerima pampasan itu.

“Mujur ada caruman PERKESO daripada arwah suami, sekurang-kurangnya dapat membantu menampung perbelanjaan bulanan kami,” katanya ketika ditemui di Pejabat PERKESO Cawangan Batu Pahat, di sini.

Hadir sama, Pengurus PERKESO Cawangan Batu Pahat Suhara Mustaffa, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat Zaidi Japar dan Ketua Biro Kebajikan UMNO Bahagian Batu Pahat Mohd Hamidi Mad Tap.

Pada masa sama, Suhara berkata, penyaluran maklumat termasuk nombor telefon dan alamat tempat tinggal waris membantu pihaknya mempermudahkan urusan tuntutan seperti FPM atau pencen penakat OB kepada waris mangsa.

“Kami membayar FPM kepada isteri OB dan kini kami menguruskan pembayaran Pencen Penakat. Pencen itu dibayar setiap bulan berdasarkan dua jenis bayaran.

“Syer pertama untuk isterinya yang dibayar sepanjang hayatnya dan syer kedua dibayar kepada ketiga-tiga anaknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 6:17 AM