Fazrik Kamarudin
bhnews@bh.com.my

SEBANYAK lima buah gerai menjual mercun dan sebuah gerai menjual daging salai musnah terbakar di Jalan Mergastua di Kepong Baru, malam tadi.

Penolong Penguasa Bomba, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Logeswaran Lavan, berkata sebanyak dua kereta dan motosikal turut musnah dalam kebakaran berkenaan.

"Kami terima panggilan kecemasan kira-kira pada jam 11.10 malam dan sepasukan 15 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang, Hartamas dan Hang Tuah tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian.


kebakaran membabitkan enam kedai di Kepong Baru malam tadi.

"Setiba di lokasi, api sedang membakar semua gerai berkenaan. Turut kelihatan beberapa mercun yang dipercayai dijual di lima gerai itu meletup dan terbakar.

"Api kemudian berjaya dikawal pada jam 11.30 malam," katanya ketika dihubungi.

Logeswaran berkata, punca kebakaran masih disiasat dan tiada mangsa yang dilaporkan mengalami kecederaan.

Difahamkan, pemilik kepada kenderaan yang terbabit dalam kebakaran itu sudah tampil ke balai polis bagi membuat laporan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 10:00 AM