FOTO hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI yang juga bekas anggota polis ditahan selepas memeras ugut warga Bangladesh dalam kejadian di belakang bangunan Bazar Majlis Daerah Besut di Jertih, Khamis lalu.

Kejadian dipercayai berlaku pada 9.30 pagi ketika mangsa, 30, berada di medan selera sebelum dihampiri suspek yang turut memperkenalkan diri sebagai anggota polis dengan menunjukkan kad kuasanya.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, suspek mengarahkan mangsa pergi ke belakang bangunan dan meminta beg duit mangsa sebelum mengambil RM50.

Katanya, suspek turut mengambil sebuah telefon bimbit dan kad tambah nilai RM10 sebelum meninggalkan mangsa dengan kerugian dianggarkan bernilai RM200.

"Susulan laporan dibuat mangsa yang bekerja sebagai buruh di Balai Polis Jertih, suspek berusia 40 ditahan untuk siasatan lanjut.

"Suspek yang positif dadah jenis methamphetamine ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyamar penjawat awam dan Seksyen 384 kanun sama pemerasan," katanya.

Difahamkan, suspek adalah bekas anggota polis, namun ditamatkan perkhidmatan pada 2014 dipercayai kerana masalah dadah.

Suspek turut mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah, Seksyen 170 dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 7:40 PM