Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my


ABANG mangsa kemalangan maut di Plaza Tol Batu Tiga tengah malam tadi, terkilan adiknya Noor Hidayah Mohamed Rezmi, 27, tiada di hari perkahwinannya Mei nanti.

Mohamed Khairul Ekhwan Mohamed Rezmi, 31, bagaimanapun berkata, beliau sekeluarga tetap reda menerima qada' dan qadar yang ditentukan Allah SWT.

"Saya terkilan sangat kerana amat mengharapkan dia bersama-sama meraikan hari bahagia saya nanti," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Shah Alam pagi tadi.

Beliau berkata, hubungannya dengan adik perempuan bongsunya itu memang sangat rapat.

"Arwah memang peramah, memang dia rapat sangat dengan saya dan keluarga termasuk anak-anak saudaranya. Sebelum dia keluar semalam pun kami sempat bergurau.

"Saya mengusik dia dengan melukis misai dengan menggunakan celak ketika dia sedang bersiap mengenakan mekap untuk ke mesyuarat perniagaannya dan meraikan ulang tahun hari kelahirannya semalam.

"Adik saya bekerja sendiri dalam bidang pemasaran dan mempunyai perniagaan perkhidmatan cuci kereta di Kuala Lumpur.

"Semalam, rakan perniagaan adik yang memandu kereta adik," katanya yang mendapat khabar mengenai kemalangan yang menimpa adiknya 1.30 pagi tadi selepas dimaklumkan oleh anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Beliau berkata, jenazah adiknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 selepas proses bedah siasat petang ini.

Dalam pada itu, Mohamed Khairul Ekhwan juga sangat berharap proses merobohkan Plaza Tol Batu Tiga dipercepatkan agar kejadian menimpa adiknya tidak berulang.

"Sejak tol dimansuhkan, kawasan terbabit jadi gelap kerana tiada lampu seperti sebelum ini, saya harap proses merobohkan plaza tol dipercepatkan," katanya.

Sementara itu, ibu kepada Fathurezza Khoirul Huda Halimsuyto, 31, iaitu Rurah Wardayanti , 54, ketika ditemui berkata, anak sulungnya dari sembilan adik beradik itu terlalu banyak membantu keluarga.

"Dia banyak menanggung perbelanjaan kami sekeluarga, sangat mengambil berat terhadap saya dan adik-adiknya.

"Minggu lalu, dua kali dia beritahu hendak kembali tinggal di rumah kepada saya kerana dia tinggal di rumah sewa bersama kawan-kawan di Padang Jawa, namun hasratnya itu tidak kesampaian.

"Arwah seorang anak yang baik hati dan hanya bercakap apabila perlu. Dia sangat rapat dengan saya, kehilangannya sangat menyedihkan kami," katanya.

Berita berkaitan

Ajal tiba selepas rai hari lahir

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 1:33 PM