BAS pelancong terbakar sehingga menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya di Jalan Tamparuli-Ranau berhampiran Kampung Kapa, Tamparuli, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. FOTO Ihsan Bomba
Recqueal Raimi


MASALAH pada sistem brek dipercayai punca kebakaran membabitkan bas persiaran membawa 39 pelancong China di Jalan Tamparuli - Ranau berhampiran Kampung Kapa, Tamparuli, Tuaran, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail, berkata dalam kejadian 7.45 malam itu, pemandu bas terbabit terhidu bau hangit di bahagian belakang bas sebelum memberhentikan kenderaan di bahu jalan.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kebakaran berlaku di bahagian tayar belakang dan pemandu berusia 28 tahun itu cuba untuk memadamkan kebakaran dengan alat pemadam api, namun gagal sebelum api merebak membakar keseluruhan bas.

"Kesemua 40 penumpang sempat keluar daripada bas dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Mereka kemudian dibawa menaiki bas lain milik syarikat sama ke Kota Kinabalu.

"Kebakaran disyaki berpunca akibat masalah sistem brek, namun siasatan lanjut dijalankan oleh pihak forensik Jabatam Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Qawie Gapar, berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.42 malam sebelum menghantar tujuh anggota bersama sebuah jentera ke lokasi.

Katanya, kebakaran berjaya dipadamkan 31 minit selepas bomba tiba di lokasi.

"Kebakaran itu menyebabkan kesesakan lalu lintas apabila puluhan kenderaan terpaksa berhenti di tepi jalan berikutan bimbang melalui jalan terbabit ketika api sedang marak membakar bas berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 1:54 PM