KEMALANGAN membabitkan dua kenderaan di Terowong Menora Kilometer 261.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara. FOTO Ihsan Pembaca
Farah Suhaidah Othman


ALIRAN trafik di Terowong Menora ditutup pagi tadi dan kini bergerak perlahan sepanjang lima kilometer akibat kemalangan membabitkan dua kenderaan dalam terowong itu di Kilometer 261.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di Ipoh, hari ini.

Jurucakap PLUS berkata, kemalangan membabitkan dua kereta itu menyebabkan kedua-dua lorong di lokasi kejadian terpaksa ditutup sementara pagi tadi.

Bagaimanapun katanya, kerja pengalihan dan pembersihan selesai dilakukan dan kedua-dua lorong dibuka semula kepada pengguna lebuh raya pada 12 tengah hari tadi.

"Berikutan kejadian itu, aliran trafik agak perlahan sepanjang lima kilometer dari arah Ipoh menghala ke Kuala Kangsar," katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 11.31 pagi.

Beliau berkata, anggota yang tiba mendapati kemalangan membabitkan pelanggaran Proton Saga dan Proton Saga Aeroback di dalam terowong berkenaan.

"Mangsa tiada di lokasi kejadian ketika pihak bomba tiba.

"Anggota membuat pemantauan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada mangsa lain terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 2:56 PM