Mohd Hasbi Sidek


DUA wanita antara lima pemancing dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika memancing di Sungai Gasi berhampiran Kem Paya Jaras, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Sungai Buloh kira-kira 5 petang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan S Somu berkata, pihaknya menerima satu laporan dibuat dua daripada tiga mangsa yang terselamat dalam kejadian itu.

Katanya, kedua-dua lelaki terbabit memaklumkan mereka pergi ke lokasi bersama isteri masing-masing sebelum dihanyutkan arus deras sungai berikutan air pasang.

"Pada masa sama, seorang lelaki yang turut terselamat memaklumkan dua rakannya yang juga anak beranak dilaporkan hilang dalam kejadian itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Somu berkata, berdasarkan maklumat awal pihaknya dimaklumkan ada beberapa kumpulan lain pemancing yang berada di lokasi berkenaan.

"Kami dimaklumkan ada sekumpulan pemancing warga asing juga berada di lokasi berkenaan dan dipercayai turut dikhuatiri lemas.

"Kerja mencari dan menyelamat dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor giat dijalankan untuk mengesan mangsa," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung ahli keluarga mereka yang keluar memancing di daerah ini namun masih belum pulang ke rumah diminta menghubungi polis untuk membantu mengesan mangsa.

Berita berkaitan:

7 pemancing dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 9:09 PM
Digital NSTP Subscribe