ZAINAL Rahim
Irwan Shafrizan Ismail dan Fairuz Mohd Shahar

Putrajaya: Penjawat awam yang berdepan masalah kesihatan kronik dan tidak lagi mampu menjalankan tugas diberikan pilihan untuk bersara awal menerusi skim persaraan Atas Sebab Kesihatan (ASK).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, skim ASK itu mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan akan dibentangkan di Parlimen bulan depan dan dijangka dilaksanakan pada April.

Beliau berkata, menerusi dasar baru itu, kakitangan awam yang memilih untuk menamatkan perkhidmatan mereka selepas disahkan oleh doktor tidak lagi boleh bekerja dan memberi sumbangan kepada perkhidmatan awam kerana sakit yang mudarat seperti strok, gangguan psikologi atau kesan selepas kemalangan akan diberi ganjaran dan faedah pencen bulanan yang lebih baik.

“Kami menggubal satu peraturan yang diluluskan kerajaan iaitu bagi mereka yang mengalami sakit dan tidak dapat menjalankan tugas, kami memberi mereka kelonggaran bersara dalam keadaan yang cukup baik apabila mereka seolah-olah berkhidmat dengan kerajaan sehingga usia 60 tahun atau usia persaraan wajib.

“Kami percaya kalau mereka terus bertugas, kemungkinan kesihatan bertambah teruk, malah mereka mungkin tidak selesa untuk menyumbang khidmat dan produktiviti sebaik mungkin kepada sektor awam,” katanya, semalam.

Mengulas lebih lanjut, Zainal Rahim berkata, menerusi formula baru itu, sebagai contoh penjawat awam yang memulakan perkhidmatan pada April 2005 dan diberhentikan tahun ini selepas bertugas selama 12 tahun dan 23 hari (sepatutnya bersara 2046) atas alasan kesihatan dijangka menerima ganjaran RM70,200 dengan pencen bulanan RM1,200.

“Berbanding peraturan diguna pakai sekarang, penjawat awam itu hanya mendapat ganjaran RM21,600 dengan pencen bulanan RM479.99. Jadi menerusi ASK, pencen bulanan diterima hampir tiga kali ganda,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menjangkakan 200 hingga 220 penjawat yang mengalami masalah kesihatan akan memohon skim berkenaan tahun ini dan jumlah berkenaan bertambah dari tahun ke tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 3:53 AM