Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini semalam kerana meminta suapan RM500 daripada seorang lelaki yang ditahan dalam sekatan jalan raya.

Tertuduh Koperal Ruslan Deraman, 57, mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa meminta suapan RM500 daripada Roslan Abd Aziz sebagai dorongan untuk melepaskan lelaki terbabit yang menunggang motosikal SYM kerana melakukan kesalahan ketika ditahan dalam sekatan jalan raya.

Ruslan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan meminta suapan.

Tertuduh yang bertugas di Bahagian Tugas-Tugas Am dan Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Wakaf Tapai didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Wakaf Tapai, Marang pada 13 Februari 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan 19 Mac depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ameer Abu Bakar Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 4:24 AM