SEBAHAGIAN ahli keluarga masih lagi menunggu di lokasi kejadian mangsa lemas di tebing sungai ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemancing dihanyut arus di Sungai Gasi, Sungai Buloh. FOTO Syarafiq Abd Samad
Fazrik Kamarudin


“KAMI akan tunggu di sini sehingga ada berita mengenai kakak saya” kata Yati Hashim ketika ditemui di Sungai Gasi, Sungai Buloh, hari ini.

“Selepas mendapat berita mengenai kejadian yang menimpa kakak saya (Jeleha Hashim, 48) kira-kira 9 malam tadi, saya bersama tiga anak buah yang juga anak kakak, terus menuju ke sini dari Ulu Klang.

“Sepanjang malam kami tidak boleh melelapkan mata memikirkan nasib kakak saya, justeru kami ambil keputusan untuk terus duduk di sini sehingga kakak saya ditemui,” katanya.

Sementara itu anak mangsa, Muhd Badrul Syamsul Azhar, 21, berkata, kali terakhir dia menemui ibunya adalah pada hari Ahad lalu.

“Kebelakangan ini ibu saya semakin kerap keluar untuk pergi memancing, dia memang minat memancing.

“Ahad lepas adalah kali terakhir saya menatap wajah ibu saya, itu pun cuma nampak sekali imbas kerana dia berada di dalam kereta,” katanya.

Jeleha Hashim bersama suaminya, Syamsul Azhar Maula Ismail, 33, antara mangsa yang terbabit dalam kejadian lemas disebabkan arus deras ketika sedang memancing di Sungai Gasi berhampiran Kem Tentera Sungai Buloh, 5 petang semalam.

Syamsul Azhar bagaimanapun sempat menyelamatkan diri.

Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) kini sedang giat dijalankan bagi mengesan mangsa yang masih hilang.

Berita berkaitan:

Pencarian diteruskan

[UPDATE] Jumpa mayat mangsa kedua

70 anggota cari 4 mangsa

Jumpa 7km dari lokasi hanyut

Terjun sungai, cuba selamatkan isteri

2 wanita antara 5 dikhuatiri lemas

7 pemancing dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 10:31 AM