DATUK Mohd Khalil Kader Mohd (kanan) menyampaikan sijil perhargaan kepada anggota polis, pada majlis Perhimpunan Bulanan Febrauri 2018, di dataran kawat PSP Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


PEGAWAI polis ditahan kerana didapati positif dadah menerusi ujian saringan awal air kencingnya, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, inspektor polis berusia 30-an itu bertugas di Bahagian Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

"Semalam kita dapati ada seorang pegawai penyiasat kita dari IPD Segamat positif dadah jenis methamphetamine menerusi ujian air kencing yang dijalankan.

"Di Johor, saya tidak akan berkrompomi dengan pegawai dan anggota yang terbabit dengan dadah dan jenayah.

"Sejak mula saya ambil alih dulu, saya sudah buat pembersihan. Kalau itu pilihan mereka, kita tidak akan terima mereka dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Kontinjen Johor, Johor Bahru, hari ini.

Mohd Khalil berkata, pegawai berkenaan akan diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

"Kita sudah membuat laporan polis bagi kes pegawai terbabit dan dia akan menjalani apa sahaja peraturan dan undang-undang berkaitan," katanya.

Pada masa sama, dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan pegawai mahupun anggota polis supaya tidak terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

"Fikirkan isteri, anak-anak atau keluarga anda. Penyelia yang dilantik hendaklah selia anak buah di bawah kawalan dan laporkan perkara berkaitan ke dalam Sistem Kawalan Disiplin dan Dadah atau E-SKDD," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 1:55 PM