LELAKI berusia 36 tahun direman empat hari di Mahkamah Majistret yang menyorok di bawah katil untuk mengelak daripada ditahan penduduk kampung selepas melakukan pecah rumah di Kampung Telaga Gajah, Banggol, Pantai Cahaya Bulan (PCB). FOTO Muhamaad Razis Ismail
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


LELAKI bertindak menyorok di bawah katil untuk mengelak daripada ditahan penduduk kampung selepas melakukan pecah rumah di Kampung Telaga Gajah, Banggol, Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, kelmarin.

Dalam kejadian 11.55 malam itu, perbuatan lelaki berusia 36 tahun itu bagaimanapun berjaya dikesan penduduk setempat.

Suspek turut mengalami kecederaan ringan di kepala selepas bertindak agresif ketika ditahan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata, kejadian itu disedari anak saudara pemilik rumah yang curiga selepas melihat sebuah motosikal diparkir di belakang rumahnya.

Katanya, dia kemudian terdengar bunyi bising dan mengesyaki rumah ibu saudaranya yang bekerja di Raub, Pahang dipecah masuk.

"Pengadu meminta bantuan beberapa penduduk kampung untuk mengepung rumah sebelum sebahagian daripada mereka masuk melalui dapur.

"Pemeriksaan lanjut, menemui suspek bersembunyi di bawah katil dalam bilik rumah dua tingkat itu.

"Dengan bantuan penduduk kampung, suspek berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan sebelum diserahkan kepada polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, siasatan mendapati suspek dipercayai masuk dengan memecahkan siling bahagian sisi luar rumah.

"Suspek bagaimanapun tidak sempat mengambil apa-apa di rumah itu. Suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 451 Kanun Keseksaan" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 2:15 PM