KEADAAN di dalam kelas selepas kejadian siling runtuh di Sekolah Kebangsaan Jerangau, Dungun, petang semalam. FOTO ihsan pembaca.


MURID dan guru bernasib baik selepas siling bangunan sebuah kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerangau, Dungun runtuh selepas sesi pengajaran dan pembelajaran tamat, petang semalam.

Pengarah Pendidikan negeri Shafruddin Ali Hussin berkata, kejadian dilaporkan berlaku 5 petang.

"Siling yang runtuh itu menyebabkan kerosakan pada struktur binaan dan bumbung bangunan. Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengeluarkan arahan supaya tingkat atas bangunan itu dijadikan kawasan larangan.

“Perkara itu sudah telah dimaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pasukan Teknikal Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk siasatan lanjut.

"Penilaian mengenai kos kerosakan dan tahap keselamatan bangunan keseluruhan sedang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu JPNT mengeluarkan arahan supaya semua sekolah dibina kontraktor diperiksa semula.

"Kejadian sebegitu tidak boleh dipandang remeh dan pemeriksaan harus dibuat terhadap sekolah yang dibina kontraktor bagi mengelak kejadian berulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 4:36 PM