MARZUKI menunjukkan kesan cedera akibat disondol babi hutan pada 8 Februari lalu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Lebar, Batu Kikir, Kuala Pilah. FOTO Amran Yahya.

“SAMPAI sekarang saya trauma setiap kali mendengar babi hutan menghampiri rumah," kata Marzuki Mohd Yasin, 72, yang cedera diserang haiwan berkenaan di Kampung Padang Lebar, Batu Kikir, Kuala Pilah pada 8 Februari lalu.

Warga emas itu berkata, kecederaan kaki dan anggota badan lain dialaminya masih belum sembuh dan paling terkesan ialah trauma menyelubungi dirinya setiap kali mendengar bunyi haiwan liar itu menghampiri rumahnya pada waktu malam.

Katanya, akibat kejadian itu, dia menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah selama tiga hari akibat cedera di seluruh badan terutama kaki.

Mengimbas kejadian itu, Marzuki berkata, dia berusaha melarikan diri sebaik terserempak dengan babi hutan itu, namun akibat cuaca gelap, dia terjatuh dan tersembam ke tanah sebelum haiwan liar itu menerkam kaki dan betis kirinya.

"Saya bergelut selama lima minit, namun setiap kali meronta gigitannya taringnya yang panjang itu semakin kuat sehingga sukar melepaskan diri.

"Mujur jeritan saya didengar jiran (Mohd Firdaus Marzuki, 29) dan dia datang membantu dengan memukul dan mencucuk babi itu dengan buluh.

"Pada masa sama saya melaungkan azan sebelum secara tiba-tiba babi itu melepaskan gigitan dan melarikan diri," katanya.

Marzuki berkata, dia kini masih berehat di rumah dan mendapatkan rawatan susulan di Klinik Kesihatan Padang Lebar untuk mencuci luka bekas gigitan dan menukar kain pembalut luka.

Katanya, biarpun pergerakannya agak terbatas, dia bersyukur kerana ditemani ibu, Iyah Bada, 89, yang banyak membantu menyapu ubat luka dan menolak kerusi roda.

“Saya bersyukur kerana sehingga kini masih diberi kekuatan untuk terus hidup dan apabila sudah pulih, saya akan melakukan kerja kampung untuk membantu ibu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 6:52 PM