MUSLIM dan Zaleha di Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah. FOTO Abdullah Yusof
Shaarani Ismail
shaarani@bh.com.my


SUAMI isteri masing-masing dihukum penjara 15 bulan dan denda RM28,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini selepas mengaku bersalah atas 28 pertuduhan pilihan mempergunakan 19 remaja serta kanak-kanak bagi tujuan mengemis.

Tertuduh, Muslim Ab Karim, 67, dan isterinya, Zaleha Mohamad, 55, juga diarahkan menjalani program khidmat masyarakat selama 100 jam yang akan dipantau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di lokasi berhampiran tempat tinggal mereka sebaik hukuman penjara selesai.

Hakim Murtazadi Amran memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa serentak bermula dari tarikh pasangan itu ditangkap pada 7 Mei tahun lalu.

Beliau membuat keputusan itu selepas meneliti serta berpuas hati dengan semua keterangan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes berkenaan.

Murtazadi selepas menjatuhkan hukuman berkata, beliau memandang serius perbuatan jenayah dilakukan kedua-dua tertuduh kerana membabitkan isu kanak-kanak dan masyarakat sangat tidak menyukai perkara sedemikian.

“Undang-undang perlu dipatuhi dan masyarakat memerhati apa yang kita lakukan. Kanak-kanak banyak digunakan untuk kepentingan diri golongan tertentu dan ia patut dielakkan,” katanya.

Pasangan terbabit dituduh secara bersama melakukan perbuatan itu di lima bandar berbeza antara 8.30 malam hingga 1.45 pagi, antara 7 November 2016 hingga 14 Mac tahun lalu.

Lokasi terbabit ialah kawasan CIMB Bank Taiping, Jalan Panggung Wayang, dan Maybank Jalan Medan Saujana 1, Medan Saujana Kamunting di Taiping; serta Persiaran Greentown Business 6, Greentown Business Centre di sini.

Selain itu di Pahang, iaitu Kemaman Kopitiam, Lorong Tun Ismail 1, Kuantan, dan CIMB Bank Bandar Raub Perdana, Raub; serta Bank Islam, Jalan Mahmood, Kota Bharu, Kelantan.

Kedua-dua tertuduh didakwa menyebabkan 19 kanak-kanak dan remaja berusia antara 11 hingga 17 tahun terbabit berada di lokasi yang dinamakan, untuk menerima sedekah dengan menawarkan jualan ubat herba gel serta kalendar.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM20,000 atau dipenjarakan untuk tempoh maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, serta diarahkan menjalani program khidmat masyarakat.

Pasangan itu turut dituduh mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Murtazadi bagaimanapun membebaskan mereka daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan bersetuju memindanya dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd Abbas, Jaizah Jaafar Sidek dan Nadia Zulkefli, manakala pasangan terbabit diwakili peguam Zamri Idrus.

Terdahulu, Zamri dalam rayuan memohon supaya mahkamah mempertimbangkan hukuman minimum selepas mengambil kira pengakuan salah tertuduh atas semua pertuduhan pilihan dikemukakan, usia kedua-duanya sudah lanjut dan kesalahan pertama mereka, selain menjimatkan masa mahkamah.

Bagaimanapun, Mohamad Abazafree memohon supaya mahkamah memberi hukuman setimpal kerana perbuatan dilakukan itu serius, serta mahkamah perlu menjalankan tugas meletakkan perasaan masyarakat terhadap perilaku membiarkan kanak-kanak mengemis dan meminta sedekah.

Gambar oleh Abdullah Yusuf

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 7:16 PM