Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Dua pekerja Telekom Malaysia Berhad (TM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan menyalah guna harta milik syarikat berkenaan dengan menjual tiga drum drop fiber cable, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Areza Suhaimi, 29, dan Azmi Zainal, 30, yang juga Pembantu Teknik TM, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua mereka dengan niat bersama menyalahgunakan harta tiga drum drop fiber cable kepunyaan TM dengan menjualnya kepada seorang lelaki di Ibu Sawat TM Tampoi, Jalan Tampoi di sini, jam 3 petang, pada 21 Disember 2017.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Dua pembantu juruteknik Mohd Areza dan Azmi didakwa mencuri tiga drum drop fiber cable daripada milikan TM dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, semalam.

Di mahkamah sama, mereka turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan pilihan mencuri barangan itu daripada milikan TM di dalam bangunan Ibu Sawat TM Tampoi di sini, yang digunakan sebagai tempat simpanan harta benda, pada masa dan hari sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurdiyanah Mohd Nawawi menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap seorang.

Walaupun dibantah peguam Eddin Syazlee yang mewakili kedua-dua tertuduh, mahkamah bersetuju dengan cadangan jumlah ikat jamin oleh Timbalan Pendakwa Raya itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 8:27 AM