Senjata milik suspek warga Filipina berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.
Junaidi Ladjana dan Recqueal Raimi
Recqueal Raimi

POLIS menahan lima individu termasuk seorang wanita dan merampas tiga laras senjata api tiruan buatan sendiri dalam serbuan di sebuah rumah kongsi terletak tujuh kilometer dari bandar Tuaran, Sabah.

Dalam serbuan jam 9.10 malam kelmarin, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran turut merampas 122 biji guli digunakan sebagai peluru senjata dirampas.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail, berkata semua suspek adalah warga Filipina berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua negatif dan tiada rekod kesalahan lampau.

"Kesemua suspek bersama barang rampasan iaitu tiga laras senjata api buatan sendiri dan 122 biji guli dibawa ke IPD Tuaran untuk siasatan lanjut," katanya.

Dzulbaharin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960, sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, Dzulbaharin meminta orang ramai supaya sentiasa bekerjasama dan menyalurkan maklumat sebarang kejadian jenayah dan tidak terbabit dalam memiliki, menyimpan atau menggunakan senjata api buatan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 9:33 AM