Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@nstp.com.my


PEKERJA pemasangan tiang jalur lebar menangis teresak-esak selepas Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini menawarkan jaminan RM10,000 terhadapnya bagi tuduhan melakukan gangguan seksual ke atas remaja perempuan, tahun lalu.

Tertuduh Muhammad Zaki Qadim, 21, yang mengaku tidak bersalah hanya ‘membatukan’ diri ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Lelaki itu didakwa melakukan gangguan seksual terhadap remaja perempuan, 15, (ketika itu) dengan cara menyentuh payu daranya di Rumbia, Alor Gajah pada 2.30 pagi, 26 Julai lalu.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.


ANGGOTA polis mengiringi Muhammad Zaki yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan gangguan seksual, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan dengan mengambil kira mangsa adalah jiran kepada tertuduh.

"Sekiranya tertuduh dibenarkan jaminan dan bebas, dikhuatiri boleh mengganggu mangsa yang juga saksi pendakwaan," katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dibenarkan jaminan dengan alasan tidak lagi bekerja selepas terbabit kemalangan, selain perlu menanggung isteri dan dua anak berusia 20 bulan dan empat bulan.

Mahkamah kemudian menawarkan tertuduh jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 2:09 PM