GAMBAR hiasan
Sarah Zulkifli

PADAH mencuri wang tunai berjumlah RM3,550 milik majikannya, seorang pengurus kedai serbaneka dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Majistret Nurshahirah Abd Salim menjatuhi hukuman itu terhadap Zaifah Mahiden, 30, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Di dalam kandang tertuduh, Zaifah yang memakai baju-T berwarna hitam dilihat mengelap air matanya ketika Nurshahirah menasihatinya.

Terdahulu, Nurshahirah menasihati wanita itu supaya insaf dan mengambil iktibar daripada kesalahan yang dilakukannya dan memahami tanggungjawab memegang amanah yang diberikan majikan.

“Tidak kira apa masalah yang awak hadapi, mencuri bukanlah tindakan yang sepatutnya awak lakukan,” katanya.

Mengikut dua pertuduhan, anak bongsu dari tiga beradik itu didakwa mencuri wang berjumlah keseluruhan RM3,550 milik dua 7-Eleven cawangan Mutiara Tropicana 3 dan Sunway Mas Commercial Center di Petaling Jaya antara 7.58 pagi dan 12.50 tengah hari, 14 Februari lalu.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datin Raj Preet Kaun merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya insaf dan tidak mampu membayar denda tinggi kerana sudah tidak bekerja.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang diamanahkan untuk menjaga dua cawangan kedai serbaneka itu mengambil wang berkenaan daripada ‘petty cash’ dan dibawa keluar tanpa kebenaran majikannya.

Majikannya kemudian membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu sebelum tertuduh ditangkap dan direman selama lapan hari bagi membantu siasatan.

Bagi setiap pertuduhan, mahkamah memerintahkan tertuduh didenda RM1,750 atau sebulan penjara sekiranya denda gagal dibayar, selain diperintahkan menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 16 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 5:27 PM