Shaharuddin menunjukkan buku Warkah Tadbir Urus JPJ Ke Arah TN50.
Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menguatkuasakan 23 kesalahan lalu lintas dalam sistem mata demerit di bawah Sistem Penalti Mata Demerit Kesalahan Jalanraya (KEJARA) secara berperingkat mulai Jun ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, sebagai permulaan kesalahan membabitkan had laju dan pelanggaran isyarat lampu merah saja dikenakan mata demerit.

Beliau berkata, antara kesalahan lain dikenakan mata demerit adalah membawa lebih muatan, memandu dalam keadaan mabuk, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, tidak memakai topi keledar dan mengabaikan arahan JPJ.

“Memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat merah dipilih sebagai permulaan untuk sistem ini berikutan ia kesalahan utama menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

“Buat permulaan, hanya dua kesalahan ini yang kita kira mata demerit dan kita berusaha memasukkan kesalahan lain dalam sistem ini kelak,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JPJ, Putrajaya, di sini, semalam.

Menurutnya, di bawah KEJARA, pemegang lesen dikenakan mata demerit apabila mereka didapati melakukan kesalahan lalu lintas dan jumlah mata diberikan berdasarkan jenis kesalahan.

Memberikan contoh pelaksanaan mata demerit beliau berkata, bagi kesalahan memandu melebihi had laju, saman dikeluarkan atas kesalahan direkodkan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang menunjukkan pemandu sebenar ketika kesalahan dilakukan.

“Individu membayar kompaun itu dikenakan mata demerit kerana mengakui kesalahan. Mata demerit dimasukkan dalam rekod mengikut nama pemandu berkenaan dan semakan mata terkumpul boleh dilakukan setiap kali membayar saman,” katanya.

Shaharuddin berkata, pemegang lesen mengumpul 20 mata pertama akan diberi amaran pertama dan jika melepasi 60 mata atau selepas tiga kali amaran, lesen akan digantung.

“Jika mengumpul lebih 100 mata lesen akan dibatalkan. Kalau digantung atau dibatalkan lesen perlu diserahkan kepada mana-mana pejabat JPJ dan dilarang daripada memandu atau menunggang kenderaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 6:57 AM