DUA individu dirakam CCTV ketika menceroboh kediaman mangsa di Seksyen 3, Bandar Rinching, Semenyih, Kajang.
HM Digital

Kajang: Sekumpulan geng pecah rumah mungkin tidak menyangka tindakan mereka memecah masuk sebuah kediaman di Seksyen 3, Bandar Rinching, Semenyih di sini, dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Suspek dikatakan memecah masuk kediaman mangsa melalui pintu hadapan sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.

Kejadian disedari mangsa berusia 31 tahun selepas mendapati rumahnya dalam keadaan berselerak sebaik pulang ke rumah pada jam 6.30 petang Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, mangsa curiga apabila mendapati pintu hadapan kediamannya terbuka.

“Sebaik mangsa memasuki rumahnya, dia mendapati keadaan kediamannya berselerak dipercayai digeledah penjenayah.

“Mangsa memaklumkan dia meninggalkan rumahnya dalam keadaan berkunci pada jam 9 malam Rabu lalu untuk ke rumah ibunya di Sungai Long di sini.

“Hasil risikan dan maklumat diterima melalui rakaman CCTV, kami berjaya menahan lima lelaki berusia 18 hingga 21 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu pada Sabtu lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 8:20 AM