SEORANG pondan bersama tiga wanita warga Thailand antara PATI yang ditahan Jabatan Imigresen Kedah dalam Ops Gegar. FOTO ihsan Jabatan Imigresen
Nordiana Shafiee

TIGA wanita dan seorang pondan warga Thailand bertempiaran melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa dalam Op Gegar di kafe Taman Damai, Padang Serai, Kulim, kelmarin.

Bagaimanapun, tiga wanita berkenaan berjaya ditahan, manakala pondan terbabit dijumpai bersembunyi di belakang almari sebuah bilik di aras dua premis tiga tingkat itu.

Tempat persembunyiannya dikesan selepas Jabatan Imigresen Kedah menjumpai beg tangan dalam loker dipercayai milik pondan itu.

Pemeriksaan awal mendapati kesemua wanita dan pondan berusia lingkungan 30an itu melakukan kesalahan melanggar syarat pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di kafe berkenaan.

Pengarah Imigresen negeri Zuhair Jamaludin berkata, dalam operasi selama tiga jam bermula 12 tengah malam itu, pihaknya turut menahan 19 warga asing pelbagai warganegara yang melakukan kesalahan imigresen.

Menurutnya, mereka yang ditahan termasuk tiga lelaki dan dua wanita warga Thailand, empat lelaki dan tiga wanita warga Indonesia, tiga lelaki Pakistan, dua lelaki India dan dua lelaki masing-masing warga Bangladesh dan Myanmar berusia antara 13 dan 46 tahun.

“Ketika pemeriksaan di cafe, kami menjumpai bilik rahsia dipercayai tempat persembunyian warga asing bagi mengelak diberkas anggota penguat kuasa.

“Sementara serbuan di restoran pula didapati menggunakan khidmat 14 pekerja warga asing pelbagai warganegara yang melakukan pelbagai kesalahan” katanya.

Zuhair berkata, pemeriksaan awal mengesan kesemua PATI terbabit melakukan kesalahan seperti tiada pas atau dokumen perjalanan sah, menetap lebih masa dalam negara dan melanggar syarat pas diberikan.

Katanya, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, seterusnya dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 9:10 AM