ANGGOTA Bomba memadam kebakaran di kuarters pekerja. FOTO ihsan Bomba
Erika George
news@nstp.com.my


LEBIH 200 pekerja hilang tempat tinggal selepas sebahagian daripada kuarters pekerja didiami mereka di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu, musnah dalam kebakaran, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, 30 daripada 50 bilik di kuarters binaan separuh kekal itu musnah, namun sebahagian besar pekerja berjaya menyelamatkan diri sejurus kebakaran berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Samalaju yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Stephen Plen bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat berhubung insiden berkenaan.

"Sejurus sampai di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati api sedang marak memusnahkan rumah pekerja struktur tidak kekal yang mempunyai 50 bilik pekerja itu.

"Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula dari blok kedua kuarters berkenaan, malah siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kebakaran," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana sebahagian besar penghuni berjaya menyelamatkan diri, malah ada juga yang bekerja di kilang.

"Nilai kerugian sebenar juga sedang disiasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 9:26 AM