NENEK Siti Halaidah, Roslinda Mohd Ipang, 49, masih menangisi pemergian Siti Halaidah, 7, setiap kali menjejakkan kaki ke tapak rumah yang terbakar hampir sebulan lalu di Kampung Tebongon, Putatan. FOTO Amniera Naziera Amran
Amniera Naziera Amran


HAMPIR sebulan kehilangan anak sulung yang rentung selepas rumahnya di Kampung Tebongon, Putatan terbakar, Siti Sarta Mohd Azmi,26, mengakui belum mampu menjalani kehidupan tanpa insan tersayang itu.

Malah, empat lagi anaknya turut merasai kehilangan kakak mereka, Siti Halaidah Abdullah, 7, yang sering menolong ibunya menjaga adik beradik lain termasuk menukar lampin adik bongsunya.

Dalam kejadian pada 26 Januari lalu, Siti Halaidah, ditemui rentung berhampiran pintu keluar di tingkat bawah rumah dua tingkat didiami keluarganya dalam keadaan masih memeluk beg sekolah.

Ibunya pula melecur 50 peratus pada badan selepas nekad meredah api dan masuk ke rumah yang terbakar untuk mencari Siti Halaidah.

Siti Sarta ketika ditemui di rumah saudaranya di sini berkata, walaupun masih belum pulih sepenuhnya, dia kuatkan semangat kerana harus menyara empat anaknya yang lain berusia dua hingga enam tahun.

“Saya sangat sedih kerana tidak berkesempatan melihat jenazah Siti Halaidah dikebumikan kerana menerima rawatan di hospital selama tiga hari.


KEADAAN Siti Sarta Mohd Azmi ,26, yang masih terlantar akibat melecur 50 peratus dalam kejadian kebakaran di Kampung Tebongon, Putatan hampir sebulan lalu. FOTO Amniera Naziera Amran

"Sehingga kini saya tak mampu melupakan apa yang berlaku sehingga trauma, terutama apabila melihat tapak rumah yang terbakar. Kalau boleh tak mahu lalu lagi di situ," katanya yang sendirian menjaga empat anak selepas suaminya hilang tanpa khabar berita sejak dua tahun lalu.

Siti Sarta berkata, selepas tragedi itu, seminggu sekali dia akan menziarah kubur anaknya itu dengan ditemani bapanya, Mohd Azmi Raji, 51 dan ibu, Roslinda Mohd Ipang, 49.

Dia juga bersyukur kerana semakin sembuh dan kini kesan melecur pada badannya sudah hampir 60 peratus pulih, cuma tinggal pada bahagian bahu dan tangan sahaja.

“Selama ini, saya tunggu suami pulang ke pangkuan kami sekeluarga sehinggalah Siti Halaidah pergi buat selamanya.

“Saya berjanji akan menjaga anak-anak ini dengan baik walaupun tanpa suami,” katanya yang sebelum ini bekerja di Pasar Kraftangan Kota Kinabalu dengan upah RM500 sebulan.

Sementara itu, Roslinda berkata, hancur hatinya setiap kali melihat kawasan kebakaran kerana masih ada serpihan buku tulis milik cucunya.

"Pada 2 Februari lalu, kami sekeluarga beli kek dan baju gaun Frozen sebagai tanda memperingati pemergian Siti Halaidah yang sebelum ini berhajat memakainya pada ulang tahun kelahirannya," katanya.

Berita berkaitan

Rentung sambil memeluk erat beg sekolah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 11:40 AM