Abdul Halim menyampaikan risalah perangi dadah orang ramai di Terminal 1, Seremban. FOTO Hazreen Mohamad (hantar melalui sistem)
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

KADAR penagihan dadah dalam kalangan wanita yang direkodkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di negara ini, meningkat sebanyak tiga peratus atau 208 orang kepada 948 orang sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata, pada tahun 2016, seramai 740 wanita didapati terbabit dengan gejala itu, dengan peningkatan sebanyak 0.3 peratus berbanding pada tahun 2015.

Katanya, remaja wanita seawal usia 17 tahun adalah antara penagih dadah yang dikesan selain mereka berusia lingkungan 20 sehingga 40 tahun.

"Walaupun peningkatan penagihan dadah dalam kalangan wanita tidak banyak, tetapi ia masih perlu dilihat secara serius mulai sekarang kerana kita tidak mahu statistik ini terus meningkat.

"Seperti yang kita sedia maklum ketika ini semakin ramai wanita merokok dan itu adalah antara punca yang dipercayai membawa mereka kepada gejala penagihan dadah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Perangi Dadah Habis-Habisan Sempena Tahun Baharu Cina di Stesen Terminal One di Seremban, hari ini.

Abd Halim berkata, pihaknya mengesan beberapa faktor lain yang menyebabkan peningkatan penagih dadah di kalangan wanita termasuk kerana bekalan mudah diperoleh, desakan rakan, gaya hidup dan kurang ketahanan diri.

Oleh itu katanya beliau berkata, sokongan daripada masyarakat dan pelbagai agensi lain, dapat bersama membantu AADK untuk terus mengurangkan gejala penagihan dadah di negara ini.

Sementara itu, Abd Halim berkata, dalam Operasi Bersepadu sempena Tahun Baharu Cina bermula 9 Februari lalu sehingga hari ini di 25 terminal bas seluruh negara, seramai enam pemandu bas dikesan positif dadah.

Katanya, jumlah itu diperoleh selepas pihaknya menjalankan saringan awal terhadap seramai 2,325 pemandu bas.

"Jumlah ini menurun sebanyak 40 peratus berbanding tahun lalu, apabila seramai 10 pemandu bas dikesan positif dadah selepas menjalankan saringan terhadap seramai 2,778 pemandu bas.

"Bagaimanapun, statistik ini menunjukkan masih terdapat pemandu bas yang menyalahgunakan dadah dan pemeriksaan secara berkala akan terus dijalankan dari semasa ke semasa," katanya.

Bagi Ops Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina pula katanya, ujian saringan terhadap 2,281 penunggang motosikal mendapati, seramai 431 orang dikesan positif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 4:07 PM