ZAMBRY (tiga kiri) melancarkan buku Tarian Dabus, Rebana dan Busana Puteri Perak: Warisan Penanda Kepahlawanan Anak Negeri. Turut sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi, dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (dua kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan Negeri Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya (tiga kanan). FOTO Abdullah Yusof
Balqis Jazimah Zahari


BUKU merangkumkan tiga ikon kesenian negeri Perak berjudul Tarian Dabus, Rebana dan Busana Puteri Perak: Warisan Penanda Kepahlawanan Anak Negeri dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Ipoh, malam tadi.

Buku diterbitkan bersama Kerajaan Negeri Perak, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu dilancarkan sempena Majlis Bicara Seni Memartabatkan Seni Sebagai Industri anjuran Majlis Kebudayaan Negeri Perak di Auditorium Radio Televisyen Malaysia (RTM) Ipoh.

Ia hasil tulisan Zinitulniza Abd Kadir yang mendokumentasi dan menghuraikan keunikan tarian dabus, muzik rebana serta busana Puteri Perak yang menjadi ikon dan penanda warisan kepahlawanan masyarakat negeri Perak.

Selain itu, ia turut memuatkan hasil temuramah dan kajian lapangan penulisnya dengan beberapa individu kumpulan penggiat yang terbabit secara langsung mencakupi sejarah dan teori berkaitan nyayian, tarian, alat muzik, pantang larang, busana, lagenda, ritual, persembahan serta masa depan seni warisan bagi ketiga-tiga ikon berkenaan.

Penerbitannya langkah proaktif kerajaan negeri mendokumentasikan maklumat tiga kesenian itu dalam bentuk penerbitan bagi mengekalkan bahan untuk rujukan generasi masa akan datang.

Penerbitan itu adalah kesinambungan penerbitan buku Peranakan Cina Kelantan: Sintesis Cina Tanah Besar dan Melayu pada 2016 yang dihasilkan sebelum ini.

Zambry pada majlis berkenaan turut menjadi seorang daripada empat panel bagi sesi bicara.

Tiga lagi ahli panel adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Presiden Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, Datuk Norman Abdul Halim.

Program yang bermula pada 8 malam itu turut diselitkan dengan sesi wacana seni oleh empat panel Datuk Lat atau nama sebenarnya Mohammad Nor Khalid, Illya Buang Senario, Ibrahim Don dan Mohd Jayzuan.

Sesi bicara yang dikendalikan oleh moderator, Nurshakila Ismail itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Sektor Dasar dan Perancangan JKKN, Mohamad Razy Mohamad Nor dan Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 1:30 AM