MUHAMMAD Fauzun (kanan) menunjukkan atap bocor di kediaman yang dihuni.
Mohamad Fahd Rahmat

Batu Pahat: “Malu untuk memohon bantuan kerajaan, namun disebabkan faktor keselamatan kami merayu pihak berkuasa membaiki rumah pusaka ini,” kata Muhammad Fauzun Azim Md Said, 22, salah seorang daripada empat beradik yang hidup daif di rumah pusaka di Jalan Ungku Mohamad 1, Gunung Soga di sini.

Muhammad Fauzun Azim berkata, disebabkan tidak cukup wang untuk membaiki rumah, mereka terpaksa tinggal di rumah usang dan hanya mempunyai satu bilik yang dibuat menggunakan papan.

“Bilik didiami dua adik perempuan (Radhiyah Husna, 21 dan Arifah Husna, 17) yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, manakala saya dan abang (Abdul Hafidz, 25) tidur di ruang tamu.

“Walaupun adik beradik, kami sedar masing-masing perlukan ruang kerana usia sudah meningkat, namun tidak mampu menambah bilik atau membaiki pelbagai kerosakan terutama dapur yang bocor setiap kali hujan.

“Saya bekerja sendiri dengan mengambil upah memotong rumput dan membaiki rumah, Radhiyah bekerja sebagai operator kilang dan abang pula bekerja sebagai pembantu kedai makan.

“Dengan harga barang terlalu mahal selain perbelanjaan Arifah Husna yang bakal menduduki SPM, kami tidak mampu membaiki segala kerosakan rumah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, ibunya Maziah Md Zain meninggal dunia 12 tahun lalu manakala bapanya, Md Said Sukeri, 56, berpindah ke Johor Bahru, 10 tahun lalu selepas berkahwin lain.

Katanya, rumah yang dibina menggunakan kayu dan usang itu menyebabkan mereka bimbangkan keselamatan terutama runtuh akibat ribut atau gangguan haiwan liar.

“Kedudukan rumah berhampiran Gunung Soga menyebabkan angin di sini memang kuat. Mujurlah ada pokok tinggi di belakang rumah dan dinding terbengkalai di bahagian rumah, sekurang-kurangnya apabila angin kuat, ada penghalang.

“Bagaimanapun, kami bimbangkan keselamatan kerana dinding kayu sudah reput, selain bilik diduduki dua adik perempuan terletak bersebelahan ruang tamu sedangkan mereka perlukan ruang sendiri.

“Selama ini, kami tidak pernah memohon bantuan daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kerana merasakan tidak layak dan malu berbuat demikian,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia lega apabila wakil UMNO membawa wartawan meninjau keadaan rumah mereka dan berharap pihak berkuasa menghulurkan bantuan.

Katanya, disebabkan keselamatan dan mahu memberikan keselesaan kepada dua adik perempuannya, dia merayu pihak berkuasa menghulurkan bantuan kepada mereka.

“Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh hubungi 018-3111366 atau menyumbang ke dalam akaun Maybank Muhammad Fauzun Azim Md Said 151463287810,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 3:23 AM